Tuesday, September 6, 2011

MENGENAL AUTISME

Disediakan oleh: Cik Siti Nor Aisyah bt. Rahman, 
Guru Pelatih PISMP B.Ed. Special Ed IPGM Kampus Ilmu Khas,Kuala Lumpur.

MARI MENGENAL AUTISME.



Tahukah anda apa maksudnya autisme? Autisme boleh dimaksudkan sebagai ‘dalam dunia sendiri’. Istilah autisme sendiri berasal dari perkataan autos yang bererti diri sendiri dan isme yang bererti aliran.

Mengikut Uta Frith (1989) “Autisme ialah ketidakbolehan untuk menyatukan bahagian-bahagian maklumat menjadi satu yang jelas dan ketidakbolehan minda menjadikan aktiviti, pemikiran, kepercayaan dan perasaan sendiri bermakna kepada diri sendiri.’’

Menurut kajian Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (NASOM) pula menjelaskan maksud Autisme seperti berikut: “Autisme adalah satu kekurangan seumur hidup dan menampakkan kesannya dalam masa 30 bulan yang pertama seseorang bayi. Komunikasi antara mereka adalah terbantut dan mereka tidak dapat berhubung dengan secara langsung. Mereka juga mempunyai masalah tingkah laku. Individu autisme mempunyai kelebihan intelek yang luas. Kerap kali mereka menunjukkan kelebihan dalam bidang matematik atau kemahiran makenikal ataupun dalam seni muzik, ‘rote memory’ dan lain-lain”.

Bagaimana mengenal kanak-kanak autisme? Penyelidik Dr. Simon Baron-Cohen dan rakan-rakan mendapati sekiranya kanak-kanak berumur 18 bulan tidak menunjukkan tiga tingkah laku dibawah, adalah kemungkinan 83% dilabelkan autistik ataupun autisme.
i.      Menunjukkan sesuatu di persekitaran yang membawa kepada perhatian orang  lain;
ii.     Melihat kepada objek bila orang lain lihat atau tunjukkan objek tersebut;
iii.    Cenderung untuk bermain

Kanak-kanak autisme selalunya menimbulkan kekeliruan bagi penjaganya kerana mereka kelihatan normal seperti kanak-kanak lain. Namun begitu, autisme boleh juga dikenalpasti apabila;

Bayi;
  • ·         Tidak kelihatan gembira apabila diangkat dan ditatang;
  • ·         Bayi tidak mengangkat tangan untuk dipeluk atau didukung;
  • ·         Meronta apabila berada dalam tangan ibunya;
  • ·         Mengelak bertentangan mata dengan orang;
  • ·         Kurang bertindakbalas terhadap orang lain;
  • ·         Kekurangan dalam perkembangan bahasa;
  • ·         Pertumbuhan dan perkembangan normal hanya sehingga dua tahun;
  • ·       Kemerosotan dari segi perkembangan bahasa, tingkah laku sosial, aktiviti bermain dan kemahiran motor;

Kanak-kanak;
  • ·         Menyendiri;
  • ·         Bermain sendirian dan tidak bergaul dengan rakan;
  • ·         Jarang menggunakan bahasa;
  • ·         Sukar diajak bercakap;
  • ·         Meniru perbualan ataupun perkataan orang lain seperti dialog filem;
  • ·        Melakukan perbuatan ataupun gerakan yang sama dan berulang-ulang seperti menepuk tangan ataupun berjalan mundar-mandir;
  • ·         Aktiviti dan kemahiran motor agak stereotaip;

Remaja:

  • ·         Perkembangan sosial tidak normal;
  • ·         Tiada kesedaran akan perasaan orang lain;
  • ·         Tiada minat kepada orang lain;
  • ·         Tiada kebolehan berkawan


Tahukah anda sebenarnya kanak-kanak autisme ini boleh dirawat ataupun dididik? Program pembelajaran yang sesuai bagi kanak-kanak sebegini adalah bercorak ke arah analisis tingkah laku dan menggalakkan penggunaan pertuturan dan komunikasi. Untuk aspek komunikasi, peningkatan boleh dilakukan ialah menggunakan pergerakan dan isyarat yang sesuai. Mereka ini juga boleh diintegrasikan bersama kanak-kanak normal supaya menjadikan mereka lebih efektif untuk bergaul. Bagi setiap  tingkah laku yang positif, guru ataupun penjaga perlulah menggunakan peneguhan seperti kata-kata  pujian ataupun seperti hadiah contohnya biskut bagi mengekalkan tingkah laku yang baik. Sesungguhnya apabila mereka melakukan sesuatu tingkah laku dan mendapat pujian, sudah pasti mereka akan mengulanginya lagi dan begitulah sebaliknya bukan? Kanak-kanak autisme juga boleh dibantu melalui cara ‘modelling’ iaitu meniru tingkah laku. Selain itu, ibubapa boleh menayangkan cerita atau video yang mengandungi nilai-nilai murni serta penggunaan bahasa yang baik supaya murid meniru.

Berdasarkan pengalaman saya berpraktikal di SK.Taman Segar Cheras pada bulan lepas, saya mempunyai seorang murid autisme. Murid ini pada awal jangkaan saya fasih berbahasa English tetapi sebenarnya murid ini bercakap dengan dunianya sendiri tetapi menggunakan pelbagai dialog dari cerita kartun inggeris yang saya rasakan agak lucu kerana nadanya juga sama! Sungguh unik anak istimewa ini. Namun begitu, bagi pendapat saya eloklah jika murid tersebut 'berdialog' dengan ayat-ayat yang lebih bermakna. Seharusnya murid ini perlu ditayangkan cerita yang mengandungi banyak nilai murni contohnya perkataan 'terima kasih'. Jelas sekali murid autisme boleh dan suka meniru jadi eloklah meniru yang baik-baik sahaja.

            Kesimpulannya, autisme ini perlulah dikenalpasti dari peringkat awal lagi supaya langkah pencegahan awal boleh dilakukan. Kanak-kanak autisme mamapu belajar dan berfungsi seperti kanak-kanak normal yang lain jika diberi pendidikan dan rawatan yang sempurna. 




____________________________________________________________________________

sumber rujukan:

Buku

Jamila K.A Mohamed. (2006). Pendidikan Khas Untuk Kanak-Kanak Istimewa. Selangor: Pts Publications & Distributors Sdn. Bhd

Jurnal
Wang Hui Lee, Madinah Mohd Yusuf, David Khoo Khiam Soo Dan Masitah Hj. Taib. (2006). Persepsi Guru Pelatih Program Kursus Perguruan Lepas Ijazah Pendidikan Khas Masalah Pembelajaran Terhadap Murid Bermasalah Pembelajaran, Tempawan Jilid XXII : hlm 59-67.

Yunus Yusuf. (2006). Kanak-Kanak Autisme, Lestari Pendidik-IPGM KDRI : Hlm 67-75

Internet

Pn. Ainol Azmi Bt, Lazim. (2008). Autisme. (6 September 2011) 




No comments:

Post a Comment